Khamis, 26 September 2013

kampung kemubu




KUALA KRAI 12 Julai - Sebanyak 26 cedera termasuk dua parah apabila sebuah kereta api yang membawa 250 penumpang dari Singapura ke Tumpat tergelincir dan terhumban ke dalam curam sedalam 10 meter di Kampung Gertak Serong, Kemubu, pagi ini.

Kemalangan yang membabitkan 'Tren Ekspres Timuran' tersebut berlaku pada pukul 6.30 pagi di Kilometer 376.00 - 377.00, berhampiran sebuah jambatan besi dan sebatang anak sungai antara stesen Keretapi Bertam Baru dan stesen Kemubu di sini.
Empat buah gerabak termasuk gerabak membawa penjana elektrik terhumban ke kiri dan kanan curam serta membawa bersama-sama penumpang di dalamnya yang kebanyakkan sedang nyenyak tidur.                                                                      

Sepasukan anggota penyelamat dan para doktor dari Hospital Kuala Krai, Hospital Tanah Merah, Hospital Kota Bharu dan unit kecemasan dari klinik-klinik kesihatan yang berhampiran telah berkejar ke tempat kejadian untuk membantu mangsa.
Pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki dan menyeberangi Sungai Krai melalui jambatan kereta api sejauh kira-kira 50 meter sebelum menyambung perjalanan sejauh 3 kilometer untuk ke tempat kejadian.                                                                  

Penumpang yang cedera berusia antara 17 hingga 60 tahun dan dirawat di Hospital Kuala Krai, Tanah Merah, Kota Bharu dan juga Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Krian.
Pengurus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur, Ali Hanafiah ditemui di tempat kejadian berkata, kereta api itu membawa 10 buah gerabak termasuk sebuah penjana elektrik.
Katanya, pihaknya kini sedang mengesan punca kejadian di samping memulihkan semula keadaan dan membaiki semula landasan yang rosak teruk akibat daripada kemalangan itu.
Menurutnya, kerja-kerja membaiki dan memulihkan semula landasan tersebut dijangka mengambil masa selama sehari kerana memerlukan kren untuk mengangkat gerabak yang jatuh.
''Punca kejadian masih disiasat, tetapi kami tidak menolak gerabak penumpang pertama tergelincir lebih awal daripada landasan dan menarik bersama-sama gerabak yang lain meskipun ketika itu lokomoti sudah melepasi jambatan,'' katanya.  

Beliau memberitahu, sebuah tren bantuan juga dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu membawa penumpang-penumpang yang terselamat ke destinasi masing-masing dekat Tumpat.
Katanya, tren yang tergelincir itu bertolak dari Singapura pukul 8 malam dan dijangka tiba di stesen terakhir di Tumpat pada pukul 9 pagi ini.
Sementara Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTM, Azizah Ujang dalam satu kenyataan berkata, tren Eskpres Timuran dari Singapura itu membawa 250 penumpang dan punca-punca kejadian sedang disiasat.
Katanya, berikutan kejadian itu, perkhidmatan tren penumpang dari Tumpat ke Gemas (No.91 Tn) pada hari ini hanya dapat dilarikan ke stesen Kuala krai sahaja.
''Manakala tren penumpang dari Gemas ke Tumpat (No. 92 Nk) akan dilarikan hingga ke Gua Musang sahaja dan seterusnya tren penumpang dari Tumpat ke Gua Musang (No. 93 Tn) akan dilarikan sehingga ke stesen Kemubu dan akan berpatah balik ke Tumpat,'' katanya.
Beliau berkata, dalam pada itu perkhidmatan Ekspres Timur (Tumpat-Singapura) dan Ekspres Wau (Tumpat-Kuala Lumpur) masing-masing dijadualkan berlepas dari stesen Tumpat ke Singapura dan Kuala Lumpur pada hari ini adalah dibatalkan.
Katanya, sementara bagi perkhidmatan tren Ekspres Timuran dari Singapura ke Tumpat dan Tren Ekspres Wau dari Kuala Lumpur ke Tumpat pada malam ini akan beroperasi seperti biasa.
''Pihak KTMB meminta maaf di atas sebarang kesulitan yang dialami di luar dugaan itu,''ujarnya.
Menurutnya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai jadual perkhidmatan tren boleh menghubungi talian berikut 03-2273l800 atau stesen keretapi yang berhampiran.



Pemandangan menakjubkan
D
i Negeri Kelantan Darul Naim terdapat pelbagai destinasi menarik yang boleh dikunjungi orang ramai. Kampung Kemubu yang terletak di Daerah Kuala Krai contohnya, terdapat sebuah air terjun yang sejuk dan nyaman airnya. Air Terjun Jelawang pasti membuatkan pengunjung tidak lupa akan panorama indah dan hidupan flora dan faunanya. Di samping boleh bermandi manda, pengunjung juga tidak akan melepaskan peluang untuk berkelah sambil menikmati juadah dalam suasana yang tenang dan segar. Kehadiran Gunung Stong yang mendapat pengiktirafan sebagai gunung tertinggi di Negeri Kelantan berjaya melengkapkan lagi kehebatan kawasan persekitaran Kampung Kemubu ini.
Stesen Keretapi Kemubu
Jika berminat untuk berkunjung ke sini, para pengunjung boleh memilih sama ada datang menaiki kereta api atau melalui jalan raya menggunakan pengangkutan awam sama ada bas atau teksi selain boleh memandu kenderaan sendiri. Jarak perjalanan untuk ke kampung ini dari Kuala Krai lebih kurang 45 minit pemanduan manakala jarak ke Pekan Dabong pula kira-kira sembilan kilometer dari kawasan kampung. Kemudahan stesen kereta api yang terletak di tengah-tengah kawasan kampung, menjadikan kereta api sebagai pilihan pengangkutan yang popular dalam kalangan penduduk Kampung Kemubu yang juga berada di bawah pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong.

Rumahku Separa Moden
M
asyarakat di Kampung Kemubu mempunyai hubungan yang mesra dan erat sesama mereka. Jika ada kelapangan, mereka akan duduk bersembang di kedai kopi untuk membincangkan pelbagai perkara seperti hal ehwal semasa sama ada dalam atau luar negara. Golongan belia di kampung ini khususnya lelaki pula lebih gemar berhimpun beramai-ramai sambil bermain dam.
Warga tempatan bermain dam
Populasi penduduk di kampung ini dianggarkan seramai 3,700 orang. Majoriti penduduknya adalah golongan belia seramai 1,500 orang di mana kesemuanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Di Kampung Kemubu rata-rata penduduk mendiami rumah yang dibina berasaskan kayu dan separa batu. Penempatan mereka disusun secara berkelompok dan tersusun. Meskipun begitu terdapat beberapa buah rumah yang dibina berhampiran dengan landasan kereta api. Bagi golongan yang kurang berkemampuan mereka telah ditempatkan di rumah-rumah PPRT yang dibina di bawah Skim Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Bersukan Bersama
K
ampung Kemubu terletak berdekatan dengan beberapa buah kampung lain seperti Kampung Gua Chatok, Kampung Stong, Kampung Mahligai, Kampung Ingin Maju dan Kampung Dusun Durian. Pekan yang paling hampir dengan kampung ini ialah Pekan Dabong.
Kampung Kemubu terletak di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kuala Krai
Penduduk kampung sering menjalankan pelbagai kegiatan bersama yang menjadi salah satu faktor mengeratkan hubungan penduduk antara kampung. Lazimnya mereka akan bekerjasama dalam aktiviti yang melibatkan pekerjaan dan juga aktiviti sukan. Selain itu, faktor pendidikan juga menyumbang ke arah hubungan baik di kalangan penduduk kerana anak-anak kampung ini akan bersekolah di Sekolah Menengah Dabong yang terletak di Pekan Dabong.
Selain itu, Sukan Komuniti yang diadakan saban tahun juga memainkan peranan penting dalam usaha merapatkan hubungan dengan penduduk di kampung-kampung lain. Lazimnya sukan ini akan dianjurkan secara bergilir-gilir di kampung terpilih di dalam Mukim Dabong. Sukan bola sepak, bola jaring dan permainan tradisional lazimnya mengisi agenda utama sepanjang temasya sukan tersebut diadakan.

 
Perniagaan Sumber Pendapatan
P
enduduk di Kampung Kemubu bekerja sebagai penoreh getah, pembantu pengeluaran di kilang dan melakukan ‘kerja-kerja kampung’ seperti berkebun. Terdapat segelintir golongan belia yang bekerja di sektor perkhidmatan awam dan juga di syarikat-syarikat swasta. Setiap pekerjaan yang dijalankan adalah mengikut taraf pendidikan serta kemahiran masing-masing dan purata pendapatan bulanan bergantung kepada jenis pekerjaan yang diceburi oleh para penduduk.
“Kegigihan kaum hawa ini juga dapat dilihat melalui perniagaan di gerai-gerai makan yang terletak di tepi stesen kereta api dan gerai menjual kuih muih yang ada di sekitar kawasan kampung.”
Bagi menjana pendapatan sampingan, sebahagian kecil penduduk memilih untuk membuka kedai runcit, mengambil upah menjahit pakaian dan mengusahakan bengkel motosikal. Biasanya, aktiviti sampingan yang dijalankan di sini dimonopoli kaum wanita. Mereka memilih untuk berniaga bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga. Kegigihan kaum hawa ini juga dapat dilihat melalui perniagaan di gerai-gerai makan yang terletak di tepi stesen kereta api dan gerai menjual kuih muih yang ada di sekitar kawasan kampung.
 

Gerak Daya Wawasan
Sungai Kemubu dari pandangan atas selari dengan landasan kereta api
K
ampung Kemubu pada asalnya merupakan sebuah kawasan hutan dan dibuka sekitar tahun 1940-an oleh para peneroka dari Kemubu Hilir atau lebih tepat dari Kampung Tok Lanas. Kedudukan kampung yang strategik, berdekatan dengan sebatang sungai yang dijadikan laluan utama penduduk ketika itu menjadikan kampung ini salah satu lokasi tumpuan ramai. Nama Kampung Kemubu diambil bersempena dengan nama Sungai Kemubu yang terletak berdekatan dengan kawasan kampung. Sejak ia dibuka kampung ini diawasi pasukan pengawal atau ‘Home Guard’ dan dipagari kawad besi bagi mencegah pencerobohan komunis ke dalam kawasan kampung.
Apabila penaklukan komunis di Tanah Melayu berakhir, Kerajaan Tanah Melayu telah memberikan tanah secara percuma kepada para peneroka awal kampung ini. Lokasi asal Perpustakaan Desa Kemubu ini dibina di atas tapak balai polis lama. Perpustakaan desa ini juga dibina setelah lokasi balai polis dipindahkan ke Kampung Mahligai yang terletak tidak jauh dari kampung ini.
Setelah beberapa tahun pembukaan Kampung Kemubu kehidupan di sini sentiasa aman dan damai. Kebanyakan penduduk berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan. Anugerah Gerak Daya Wawasan yang disandang oleh Kampung Kemubu menjadi peniup semangat kepada warga kampung untuk terus berusaha memajukan kampung ke tahap yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Belia Bersemangat Waja
B
elia lazimnya bertindak sebagai pemacu kepada kecemerlangan kampung. Golongan belia di kampung ini sentiasa berwawasan dalam usaha memajukan kampung tercinta. Penglibatan dalam pelbagai aktiviti seperti sukan, kemasyarakatan dan keagamaan dapat membantu menjayakan serta memeriahkan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak jawatankuasa kampung. Sikap ringan tulang yang ada dalam diri belia di sini juga memudahkan setiap urusan yang dijalankan.
Temasya Sukan Komuniti yang berlangsung setiap tahun menjadi satu medan untuk para belia menunjukkan kesungguhan dan bakat masing-masing. Bagi anak-anak muda di sini sudah semestinya sukan bola sepak dan sepak takraw menjadi pilihan mereka. Latihan yang konsisten dan kerjasama dalam pasukan membuatkan mereka sering kali merangkul kejuaraan dalam pelbagai aktiviti disertai. Selain itu, terdapat juga program motivasi dan ceramah berkenaan dengan sukan yang diadakan khas untuk menarik minat mereka dalam bidang sukan.
Jika sesuatu majlis seperti majlis kenduri kahwin dan sebagainya diadakan, belia kampung biasanya dijemput untuk membuat persembahan dikir barat atau silat pulut bertujuan menghiburkan para tetamu. Kadar bayaran yang dikenakan adalah sangat berpatutan dan lebih kepada membuat persembahan amal.
Kemudahan Untuk Penduduk
B
erada di pinggir bandar tidak bermakna kampung ini tidak dapat menikmati kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan. Di Kampung Kemubu, kemudahan bekalan air bersih dan tenaga elektrik dapat dinikmati oleh setiap penduduk kampung.
Selain itu, pihak kerajaan juga telah menyediakan kemudahan jalan raya berturap hampir ke seluruh kawasan kampung, jambatan menyeberangi sungai dan stesen kereta api untuk para penduduk kampung menunggu ketibaan kereta api yang menjadi salah satu pilihan pengangkutan bagi penduduk setempat. Stesen kereta api merupakan salah satu pengangkutan utama penduduk sejak tahun 1920-an lagi. Setiap infrastruktur dan prasarana yang disediakan adalah untuk dikongsi dan dinikmati bersama penduduk setempat bagi memudahkan aktiviti harian mereka.
Keprihatinan pihak kerajaan dalam memastikan penduduk menikmati taraf hidup yang baik dapat dilihat melalui penyediaan kemudahan pondok telefon, masjid, surau, sekolah, klinik desa, Internet desa, perpustakaan desa, tadika, dewan orang ramai dan padang bola.
Masjid Al-Nur merupakan pusat pengumpulan warga kampung untuk solat berjemaah dan menjalankan aktiviti berbentuk kemasyarakatan dan keagamaan. Saban tahun, masjid tersebut akan menganjurkan ceramah agama, sambutan Maal Hijrah dan sambutan Hari Raya Korban bagi mengeratkan silatulrahim sesama penduduk dan juga meningkatkan ilmu agama.
Kemudahan-kemudahan lain boleh dinikmati penduduk di kawasan kampung sekitar seperti bank, balai polis, klinik kesihatan, pejabat pos dan macam-macam lagi. Selain itu, penduduk juga boleh merujuk sebarang masalah atau urusan berkaitan ke pejabat kerajaan di pekan berdekatan.

 

Jururawat Masyarakat Sedia Membantu
J
ika penduduk menghadapi sebarang masalah berkaitan dengan kesihatan, mereka boleh mengunjungi Klinik Desa Kemubu yang terletak di jalan masuk utama kampung. Klinik desa ini memberikan perkhidmatan kesihatan kepada ibu mengandung, kanak-kanak dan pesakit luar. Penduduk tidak perlu bersusah payah untuk ke tempat lain kerana segala permasalahan berkaitan kesihatan, akan dibantu tiga jururawat masyarakat yang sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan apabila diperlukan.
Selain itu, jururawat masyarakat juga akan membuat kunjungan dan lawatan dari rumah ke rumah untuk memeriksa tahap kesihatan penduduk bagi kes-kes tertentu seperti ibu bersalin dan juga penyakit demam denggi serta malaria. Bagi ibu mengandung, lawatan akan diadakan sekurang-kurangnya empat kali sepanjang tempoh kehamilan. Ini bagi memastikan kandungan berada dalam keadaan yang baik dan memberi nasihat juga panduan kepada bakal ibu jika terjadi sebarang perkara di luar jangkaan. Rawatan pemeriksaan kesihatan yang diadakan secara konsisten ini membantu para penduduk dalam mengamalkan cara hidup sihat. Waktu operasi klinik ini adalah dari hari Isnin hingga Khamis bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang sebelum dibuka semula pada jam 2.00 petang hingga 5.00 petang. Pada hari Ahad, klinik ini dibuka seperti biasa namun berhenti rehat lebih awal pada jam 12.15 tengah hari. Klinik ini ditutup pada hari Jumaat dan Sabtu.
Pembentukan Sahsiah Diri
P
endidikan merupakan pemangkin kepada pembentukan sahsiah diri yang lebih baik dan masyarakat maju. Walaupun berada di dalam kawasan pedalaman, namun setiap penduduk kampung tetap mendapat kemudahan pendidikan yang sempurna. Di kampung ini, pendidikan yang disediakan bermula di peringkat tadika Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan seterusnya peringkat sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Kemubu.

Institusi pendidikan peringkat rendah
Bagi anak muda yang bersekolah menengah, kebanyakan mereka bersekolah di Pekan Dabong iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Dabong. Pengangkutan harian yang digunakan untuk ke sekolah biasanya dengan bas sekolah dan juga kereta api. Keazaman dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam mencari ilmu sememangnya suatu usaha yang murni. Bagi mereka yang tinggal berdekatan pula, berjalan kaki ke sekolah menjadi rutin pada setiap pagi.
Berjalan kaki pergi dan balik dari sekolah menjadi rutin bagi anak-anak tempatan
Dari sudut pendidikan secara tidak formal, kelas mengaji al-Quran diadakan setiap malam oleh guru agama yang bertauliah. Guru agama ini diberi yuran bulanan untuk mengajar anak muda kampung mengaji al-Quran dan mendalami ilmu agama. Setiap kelas mengaji biasanya dihadiri oleh 10 orang pelajar. Kelas seperti ini secara tidak langsung membantu mereka dalam mendapatkan ilmu agama yang kukuh sebagai panduan dan pegangan hidup.

 

 

Tiada ulasan: